Wednesday, August 19, 2009

CID dan SB kendali kes Anwar : Mohd Said

KUALA LUMPUR, Isnin - Perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diberitahu, dalam keadaan biasa, kes seperti dakwaan salahlaku seksual terhadap bekas timbalan perdana menteri itu, dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan bukan Cawangan Khas (SB).

Bekas Pengarah Cawangan Khas (SB) yang akan bersara, Datuk Mohd Said Awang memberitahu Mahkamah Tinggi, kes Anwar dikendalikan oleh CID dan SB berdasarkan laporan polis oleh pegawai pengiring bekas timbalan Perdana Menteri, Asisten Superintendan Zull Aznam Haron di Balai Polis Jalan Travers di sini.

Mohd Said yang pernah menjadi pengarah CID sebelum menjawat jawatan Pengarah SB berkata, kebiasaannya CID akan menyediakan kertas siasatan (IP) untuk sesuatu kes untuk diserahkan kepada pejabat Peguam Negara.

Menjawab soalan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, Mohd Said memberitahu mahkamah, sebarang ulasan polis akan dicatatkan dalam bentuk minit pada IP berkenaan.

Abdul Gani: Kepada siapa CID menyerahkan hasil siasatan itu?.

Mohd Said: CID akan serahkan IP itu kepada pejabat Peguam Negara. Mungkin kami akan rujuk kepada Datuk Abdul Gani Patail (mahkamah riuh rendah).

Abdul Gani: Bolehkah anda beritahu mahkamah siapakah yang menjalankan siasatan kes Anwar ini?.

Mohd Said: CID dan SB.

Mohd Said juga memberitahu mahkamah, SB menahan Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar untuk disoal siasat berhubung kes Anwar.

Abdul Gani: Pada awal tadi, anda ada berkata Ummi Hafilda dan Azizan diletak dalam tahanan. Siapa yang menahan dan menyoal siasat mereka?

Mohd Said: SB yang mengambil kedua-dua mereka untuk disoal siasat.

Abdul Gani: Kenapa SB menahan dan menyoal siasat mereka?.

Mohd Said: Kami mahu mendapatkan maklumat daripada mereka dan sebab tertuduh berulang kali memberi arahan kepada kami. Kami kena lakukan operasi menukar pengakuan mereka.

Abdul Gani: Adakah SB merekodkan sebarang kenyataan daripada sumber itu?.

Mohd Said: Tidak, kami hanya mencatat rekod yang diberi.

Pada ketika itu, peguam bela, Christopher Fernando, seorang daripada sembilan peguam bela Anwar, membantah dengan alasan ia adalah soalan memimpin. Abdul Gani kemudian menyusun semula soalannya.

Menjawab soalan, Mohd Said memberitahu mahkamah, SB tidak mengesahkan sumber yang diperolehi tetapi mengetahui dari mana sumber itu diperolehi.

Menurutnya, sebahagian daripada laporan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri itu dituliskan berdasarkan kepada maklumat daripada sumber berkenaan.

Bagaimanapun, apabila diminta Abdul Gani supaya pengenalan sumber itu didedahkan, Mohd Said berkata: Saya rasa saya tidak boleh dedahkan sumber itu.Sumber saya adalah "sumber hidup", maksud saya ia adalah manusia.

Hakim: Sudah tentu kita tidak boleh perolehi daripada manusia yang sudah mati.

Mohd Said: Ia bukan sumber dari dokumen, ia adalah manusia.

Kepada soalan Abdul Gani, Mohd Said berkata SB menahan Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar untuk mendapat maklumat berhubung surat yang mereka tulis mengenai perihal salah laku Anwar.

Katanya, mereka juga ditahan untuk menjalani operasi "turning over" (menukar pengakuan) bagi mendapat penafian daripada mereka seperti diarahkan oleh Anwar.

Sehubungan itu, katanya, ID17 (surat pengakuan bersumpah Azizan yang dihantar kepada Perdana Menteri) dan ID18 (surat yang sama oleh Ummi Hafilda) diperolehi daripada mereka menerusi operasi itu.

Mohd Said juga bersetuju dengan soalan Abdul Gani bahawa laporannya yang dihantar kepada Perdana Menteri berdasarkan ID17 dan 18.

Abdul Gani: Datuk Said, adakah ID17 dan 18 diperolehi hasil daripada operasi "turning over" yang dibuat ke atas Ummi Hafilda dan Azizan?.

Mohd Said: Ya, ia diperolehi selepas operasi "turning over.

Sebelum itu, Abdul Gani beberapa kali menyoal Mohd Said kenapa beliau memberitahu mahkamah bahawa SB tidak meneruskan siasatan salah laku seks Anwar selepas Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan pada 25 Ogos tahun lalu.

Abdul Gani: Bolehkan anda beritahu mahkamah kenapa secara tiba-tiba SB menghentikan siasatan kes Anwar?.

Mohd Said: Berdasarkan kepada kenyataan PM yang menyatakan kes itu sudah ditutup, kami perlu menghormati keputusannya. Seperti yang saya nyatakan dalam laporan saya "...kami tidak bercadang untuk menghalusi kes ini...", saya juga menghormati kenyataan PM bahawa tertuduh akan menggantikan Dr Mahathir.

Abdul Gani: Sila lihat D25 yang bertarikh 20 Ogos 1997 dan ID23 yang bertarikh 25 Ogos 1997, yang disiapkan sebelum kenyataan PM?.

Mohd Said: Ya

Abdul Gani: Sebelum menyiapkan D25, sebelum dihantar kepada PM, ada sesiapa mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu?.

Mohd Said: Setahu saya tidak.

Abdul Gani: Berdasarkan laporan bertarikh 20 Ogos itu, kenapa SB cadangkan "berhenti siasatan" dan "tak halusi siasatan" kepada PM?.

Mohd Said: Yang Arif, pada ketika itu kami sudah mempunyai ID17 dan 18, kami perlu hantar kepada PM, jadi saya hantar ID17 dan 18 kepada PM dan sebab itu saya sertakan D25.

Sebelum itu mahkamah diberitahu, tidak ada laporan kedua diserahkan kepada Perdana Menteri berhubung salah laku seksual Anwar seperti didakwa oleh pembela.

Abdul Gani berkata, pendakwa diberitahu bahawa tidak ada laporan bertarikh 3 September 1997 yang dialamatkan kepada Perdana Menteri, sama ada ditandatangani atau tidak oleh Mohd Said.

Bagaimanapun, Fernando memberitahu mahkamah, anak guamnya ada menerima salinan laporan kedua itu dan kini berusaha mencarinya.

Sehubungan itu, beliau memohon untuk menangguhkan soal balas mengenai laporan kedua itu sehingga ia berjaya dikemukakan kepada mahkamah.

Mahkamah membenarkan permohonan itu.

Berita Harian 10 November 1998

No comments:

Post a Comment