Wednesday, August 19, 2009

Arahan luar biasa: Aziz

KUALA LUMPUR, Rabu - Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Amir Junus memberitahu Mahkamah Tinggi, arahan kepada dua pegawai cawangan itu untuk menarik balik tohmahan salah laku seksual Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah luar biasa.

Amir, yang menyambung keterangannya hari ini memberi penjelasan kepada mahkamah, beliau menyifatkan arahan itu bukan amalan biasa Cawangan Khas (SB) berdasarkan tiga faktor.

"Saya ingin menerangkan arahan yang berlainan ini dalam Bahasa Inggeris. Dalam keadaan biasa, SB mengumpul maklumat sebelum menahan sesiapa.

"Tetapi dalam kes Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar, tiada maklumat dikumpulkan tetapi hanya sekadar mengenal pasti mereka. Ini berlawanan dengan amalan SB.

"Faktor kedua, apabila kami "turn over atau "neutralise" mana-mana sasaran, kami akan cari kebenaran fakta berhubung kes itu. Tetapi dalam kes Ummi Hafilda dan Azizan, tiada arahan diberikan untuk menyiasat kebenaran perkara itu tetapi hanya diminta neutralise mereka. Ini sekali lagi bukan amalan biasa SB.

"Faktor ketiga, teknik yang digunakan oleh SB untuk operasi "turn over" atau "neutralise" adalah hanya boleh dipakai terhadap sasaran yang mempunyai ideologi komunis, fanatik agama dan pelampau.

"Tetapi dalam kes Ummi Hafilda dan Azizan yang bersifat kesalahan jenayah, teknik itu diguna pakai. Ini adalah pertama kali kami gunakan untuk kes seumpama ini," katanya.

Menjawab soalan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, Amir berkata arahan Anwar kepadanya dan bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd Said Awang, adalah sama dengan arahan yang beliau dan Mohd Said berikan kepada pegawainya.

Menurutnya, Mohd Said mengarahkan Asisten Komisioner Mazlan Mohd Din dan Deputi Superintendan Abdul Aziz Hussin menemuduga dan mendapat penarikan balik pengakuan Ummi Hafilda dan Azizan berhubung ID14 (surat Ummi Hafilda berhubung salah laku TPM dan pengakuan bersumpah Azizan).

Katanya, operasi "turning over" dan "neutralisation" yang dibuat itu adalah untuk menarik balik semua tohmahan yang dibuat oleh Ummi Hafilda dan Azizan.

Ditanya oleh Abdul Gani siapa yang mengarahkan beliau dan Mohd Said untuk menarik balik tohmahan itu?

Amir menjawab: Anwar sendiri.

Abdul Gani: Tadi kamu ada katakan mengenai "intelligence gatherings", apa maksud perkataan itu?

Amir: Maksudnya ialah kita membuat risikan terhadap seseorang individu berkenaan melalui pergerakan dan aktiviti seseorang individu bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan oleh Cawangan Khas.

Abdul Gani: Memandangkan arahan ini, yang bukan biasa dibuat, mengapa arahan itu dikeluarkan juga kepada Abdul Aziz dan Mazlan?

Amir: Walaupun arahan turning over dan neutralising oleh Mohd Said kepada Abdul Aziz dan Mazlan bukan biasa dibuat, arahan itu dikeluarkan juga bagi memenuhi kehendak tertuduh (Anwar).

Peguam bela, Gurbachan Singh bangun membantah soalan dan jawapan itu atas alasan ia jelas daripada keterangan saksi bahawa arahan kepada Abdul Aziz dan Mazlan dikeluarkan oleh Mohd Said, bukan oleh saksi itu sendiri.

Gurbachan: Oleh itu, orang yang sepatutnya memberi keterangan mengapa arahan itu dikeluarkan hanya Mohd Said dan bukan yang lain.

Hakim Datuk S Augustine Paul mencelah: Jawapan saya ialah anda boleh soal balas saksi ini berhubung isu berkenaan.

Amir memberitahu mahkamah, pada jam 3 pagi 18 Ogos 1997, Mazlan dan Abdul Aziz memberi taklimat penilaian awal berhubung siasatan ke atas Ummi Hafilda dan Azizan kepada beliau dan Mohd Said di pejabat bekas pengarah itu.

Katanya, Mazlan memberi taklimat yang penilaian awalnya berhubung maklumat yang diperolehi Azizan boleh dipercayai.

Abdul Gani: Apa yang kamu maksudkan maklumat yang diperolehi daripada Azizan?

Amir: Maklumat yang saya maksudkan diperolehi oleh Mazlan adalah "Azizan menceritakan dengan konsisten dan terang".

Abdul Gani: Adakah cerita itu berkenaan dengan apa?

Amir: Cerita yang dikatakan oleh Azizan berkenaan akuan sumpah yang beliau (Azizan) katakan dalam ID14.

Abdul Gani: Adakah Mazlan percaya apa yang dikatakan oleh Azizan dalam penilaian awal itu?

Amir: Seperti saya katakan tadi, bahawa Mazlan mempercayai cerita Azizan sebutkan dalam ID14 adalah benar disebabkan beliau (Azizan) menceritakan secara konsisten dan terang. Di samping itu, bagi seorang mangsa seperti Azizan yang diliwat, amat sukar untuk Azizan tampil ke hadapan untuk menyatakan beliau telah diliwat. Di samping itu, Azizan juga telah bersumpah di atas surah Yasin. Jikalau beliau bercakap bohong, beliau akan dilaknati Allah.

Abdul Gani: Adakah Abdul Aziz juga memberi taklimat pada kamu dan Mohd Said?

Amir: Abdul Aziz telah menceritakan kepada saya dan Mohd Said bahawa beliau mendapati amat sukar bagi Ummi Hafilda untuk berganjak daripada pendirian asalnya tentang laporan yang dibuat dalam ID14.

Abdul Gani: Adakah Abdul Aziz menyatakan alasan penilaian yang dibuat ke atas soal siasat Ummi Hafilda?

Amir: Penilaian awal Abdul Aziz ialah berdasarkan maklumat yang diperolehinya, Ummi Hafilda amat rasional, konsisten dan semua apa yang diceritakan oleh Ummi Hafilda boleh diterima.

Kepada soalan Abdul Gani, Amir memberitahu mahkamah, beliau dan Mohd Said kemudian mengarahkan Abdul Aziz dan Mazlan meneruskan operasi 'turning over dan neutralise" Ummi Hafilda dan Azizan.

Menurutnya, pada jam 6 pagi 18 Ogos 1997, Mazlan memberitahunya dan Mohd Said bahawa Azizan telah berjaya "dineutralisekan".

Katanya, pada jam 10 pagi hari yang sama, Abdul Aziz pula memberitahu yang Ummi Hafilda juga berjaya "dineutralisekan".

Kepada soalan Abdul Gani, Amir berkata pada jam 12 tengah hari, beliau dan Mohd Said diarahkan oleh Anwar untuk menemuinya di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya, dalam pertemuan itu beliau dan Mohd Said memberitahu tertuduh bahawa Ummi Hafilda dan Azizan telah menukar pendirian mereka.

Sehubungan itu, katanya, tertuduh mengarahkan mereka untuk mendapatkan satu surat penafian dan penarikan balik semua dakwaan ke atas Anwar yang terkandung dalam ID14.

No comments:

Post a Comment